JULAI 2023

Kenang Kembali Pengorbanan Pemimpin Terdahulu


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengajak rakyat di negeri ini supaya bersama-sama membina Sarawak yang harmoni, maju dan makmur sejajar dengan semangat ‘Sejulai Sejalai’.

Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menentukan hala tuju yang jelas ke arah mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 melalui strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

PCDS 2030 yang sedang dilaksana berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian sumber telah membawa Sarawak untuk terus meneroka potensi kekayaan baharu, katanya dalam perutusan buku cenderamata sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak Ke-60 di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.

Abang Johari menegaskan, potensi kekayaan baharu itu merangkumi ekonomi hidrogen, pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, bahan bakar penerbangan mampan daripada alga, tenaga solar, perniagaan karbon dan penggunaan perangkap karbon (CCUS).

Sarawak agak ke hadapan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara dalam usaha membangunkan potensi baharu itu, katanya.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Kewangan menggesa supaya rakyat memperkukuhkan perpaduan sedia terjalin.

Pembangunan ekonomi yang mampan hanya boleh dicapai dalam suasana sosial yang aman dan damai serta iklim politik yang stabil, tegas beliau.

 Sehubungan itu, beliau mengajak semua rakyat supaya mengenang kembali pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan kemerdekaan Sarawak 60 tahun yang lampau.

Beliau menegaskan, perjuangan mereka semata-mata untuk memastikan Sarawak bebas daripada kuasa penjajah dan digantikan dengan kebebasan Sarawak untuk memerintah sendiri.

Tempoh 60 tahun yang telah dilalui sejak mencapai kemerdekaan pula merupakan era untuk mengisi kemerdekaan ini agar kebebasan yang dicapai menjadi sesuatu yang bermakna kepada Sarawak dan rakyatnya, katanya.

“Enam puluh tahun kemudian, semangat untuk mengisi kemerdekaan ini tidak pernah luntur tetapi terus diperkukuhkan melalui usaha pemjimpin masa kini dengan sokongan padu daripada rakyat Safrawak,” tegas beliau.

Premier Sarawak merayu agar perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri ini terus diperkukuhkan.

Sumber dari : Jiwa Bakti